Bacaan Tekanan Darah Normal Untuk Lelaki & Perempuan

Tekanan darah normal adalah berbeza mengikut individu. Ia boleh dipengaruhi oleh usia, jantina serta tahap kesihatan seseorang.

Memantau tekanan agar sentiasa berada pada paras normal adalah penting bagi mencegah masalah kesihatan yang lebih serius seperti penyakit jantung dan strok.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Alat Yang Digunakan

Bagaimana cara nak dapatkan bacaan tekanan darah?

Sekarang ni dah mudah. Anda boleh mengambil ukuran sendiri di rumah menggunakan alat digital.

Untuk mendapatkan bacaan yang tepat, anda dinasihatkan supaya tidak merokok, mengelakkan minuman yang mengandungi kafein, tidak melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi sekurang-kurangnya 30 minit sebelumnya.

Sekiranya anda mendapati bacaan kurang atau lebih tinggi daripada kadar normal, sebaiknya anda mendapatkan pemeriksaan daripada doktor.

Meskipun begitu, individu yang memiliki bacaan yang normal juga tetap disarankan untuk membuat pemeriksaan secara rutin dan amalkan gaya hidup sihat.

Ini bagi mengelakkan terjadinya sebarang komplikasi yang tidak diingini pada masa akan datang.

Sekiranya anda kurang pasti cara untuk gunakannya, anda boleh meminta bantuan doktor atau petugas di klinik.

Julat Tekanan Darah Normal Mengikut Usia dan Kategori

Tekanan Darah Normal Untuk Dewasa

Bagi orang dewasa, bacaan yang normal adalah < 120/80 mmHg. Angka 120 menunjukkan tahap tekanan jantung ketika mengepam darah, sementara 80 pula menunjukkan angka ketika jantung berehat sejenak ketika proses mengepam darah.

Secara ringkas, julat bacaan bagi dewasa adalah :

  • Normal : <120/80 mmHg
  • Pre-Hipertensi : 120-139/80-89 mmHg
  • Hipertensi : ≥140/90 mmHg
bacaan tekanan darah normal

NOTA: CARA BACA DARI MESIN & MAKSUD BACAAN

  • Setiap bacaan ada dua nombor – bacaan atas (sistolik) dan bacaan bawah (diastolik).
  • Bacaan tekanan darah (blood pressure – BP) terdiri daripada dua set nombor yang dipisahkan dengan garis condong (slash), seperti 114/78 mmHg (mmHg dibaca sebagai milimeter merkuri).
  • Nombor pertama dipanggil tekanan darah sistolik, yang merujuk kepada tekanan yang berlaku apabila jantung mengecut.
  • Nombor kedua ialah tekanan darah diastolik, yang merujuk kepada tekanan apabila jantung mengendur di antara denyutan.

Boleh rujuk carta di atas untuk klasifikasi bacaan tekanan darah anda.

Tekanan Normal Kanak-Kanak

Bacaan yang normal bagi anak kecil mungkin agak sukar untuk diketahui kerana ia sedang mengalami fasa tumbesaran.

Berikut adalah anggaran julat tekanan darah mengikut umur kanak-kanak :

  • Bayi baru lahir : ±90/80 mmHg
  • 3 hingga 5 tahun : 89 -112/ 46-72 mmHg
  • 6 hingga 11 tahun : 97-120/ 57-80 mmHg  
  • 12 tahun ke atas : 110-131/64-83 mmHg

Tekanan Darah Untuk Ibu Hamil

Ibu hamil biasa mengalami penurunan atau kenaikan tekanan darah. Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku dalam badan.

Secara umumnya, ibu hamil juga seharusnya memiliki bacaan yang normal pada 120/80mmHg iaitu kadar yang sama seperti orang dewasa.

Sekiranya blood pressure (bp) didapati rendah atau tinggi daripada biasa, dapatkan nasihat daripada doktor.

Sementara itu, pakar perubatan juga mendapati bacaan akan sedikit meningkat seiring dengan peningkatan usia sesuai dengan keperluan oksigen dan nutrisi yang semakin tinggi.

Tips Elak Hipertensi (Tekanan Darah Tinggi) & Mengekalkan Tekanan Darah Yang Normal

Hipertensi merujuk kepada tekanan di dalam salur darah yang tinggi secara berterusan (sistolik sama dengan atau melebihi 140 mmHg dan/atau diastolik sama dengan atau melebihi 90 mmHg).

Pengambilan garam melebihi saranan merupakan antara faktor risiko utama hipertensi. Purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah 7.9 gram bersamaan 1.6 sudu teh sehari (MyCoSS 2019). Jumlah ini melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5 gram atau bersamaan 1 sudu teh sehari.

Berikut dikongsikan antara tips mencegah hipertensi dan langkah mengekalkan bacaan darah normal

  • Kawal pengambilan garam dalam makanan (tidak melebihi 1 sudu teh sehari) termasuk garam tersembunyi dalam mi segera, nugget, burger, hotdog, makanan yang diawet, snek tinggi garam dan sebagainya.
  • Hadkan pengambilan makanan berproses dan mengutamakan perisa semula jadi.
  • Kurangkan garam, sos dan penambah perasa dalam masakan.
  • Elakkan pengambilan minuman berkafein secara berlebihan.
  • Tangani stres dengan melakukan hobi atau aktiviti yang anda gemari.
  • Dapatkan rehat dan tidur secukupnya. Orang yang sering tidur lewat cenderung untuk mengalami masalah tekanan darah dan komplikasi kesihatan lain.
  • Jaga pemakanan, banyakkan bersenam dan amalkan gaya hidup sihat.
  • Kurangkan atau berhenti mengambil alkohol.
Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda menjaga kesihatan dengan lebih baik.

Tekanan darah yang tinggi merupakan pembunuh senyap jika tidak dikenalpasti dan dirawat. Jadi seeloknya lakukan Saringan Kesihatan untuk mengetahui dengan lebih lanjut tahap kesihatan kita.

Sekiranya anda ragu tentang tahap kesihatan dan perlukan nasihat lanjut, sila berjumpa dengan doktor.

Sumber : halodoc.com, alodokter.com, healthline.com

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!